Thursday, April 3, 2008

"Pakatan Rakyat cadang terbit akhbar, TV, radio sendiri" Tian Chua

Oleh Harakahdaily
Khamis, 03 April 2008

KL: Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan KeADILan akan memohon menerbitkan akhbar mereka sendiri.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berkata pihaknya masih dalam peringkat perbincangan dengan wakil-wakil parti lain untuk membuka lebih ruang kepada penerbitan supaya rakyat mendapat maklumat dengan lebih seimbang.

"Ia merupakan inisiatif pihak Pakatan Rakyat memandangkan sekatan yang dibuat pihak kerajaan Umno-BN menerusi liputan media yang tidak adil dan menyalahi fakta yang sebenarnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

"Selain itu, kita juga akan turut membincangkan mengenai permohonan bagi saluran televisyen dan radio bagi membolehkan kita menyalurkan maklumat dan aktiviti yang dijalankan secara telus dan terus kepada rakyat, selain merujuk kepada media arus perdana," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai bila ia akan dilancarkan, Tian menyatakan bahawa meskipun ianya masih dibincangkan tetapi Pakatan Rakyat mensasarkan penerbitannya akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Masih banyak perkara yang perlu diperhalusi lagi, tetapi kita mahu secepat mungkin," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu itu juga merancang untuk memohon permit bagi mewujudkan media mereka sendiri.

"Selain itu, kita juga akan turut membincangkan mengenai permohonan bagi saluran televisyen dan radio bagi membolehkan kita menyalurkan maklumat dan aktiviti yang dijalankan secara telus dan terus kepada rakyat, selain merujuk kepada media arus perdana," katanya lagi.

Berdasarkan laporan Oriental Daily 1 April lalu, Pakatan Rakyat juga sedang merancang untuk memperuntukkan dana tertentu untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri.

Katanya, terdapat kemungkinan sesebuah Kerajaan negeri untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana syarikat media untuk mengeluarkan akhbar Pakatan Rakyat sekiranya ia tidak bercanggah dengan undang-undang.

Menurut undang-undang yang ada, individu dan mana-mana organisasi tidak perlu kepada permit pengeluaran mahupun lesen penerbitan sekiranya mereka mencetak akhbar atau majalah untuk kerajaan negeri.

Katanya, tujuan utama pengiktirafan akhbar alternatif itu adalah untuk memecahkan monopoli media arus perdana yang didakwa berat sebelah dalam membuat laporan kepada umum.

No comments: