Thursday, April 3, 2008

Kemenangan Pakatan Rakyat akan kekal, BN akan ranap

Aniz Nazri
Thu | Apr 03, 08 | 6:00:32 pm MYT

KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Perubahan arus politik Malaysia hari ini yang memberi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat di lima buah negeri dilihat bersifat kekal kerana ia bukan lagi bersifat perkauman, tegas Pengarah Pusat Reformasi Sistem Pilihan Raya (CERI), Dr Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif.

Beliau berkata secara peribadi, perubahan sebagai satu perubahan yang kekal atau paling tidak sebagai separuh kekal.

Image"Bagaimanapun, ia (perubahan itu) lebih mirip bersifat kekal kerana kita telah melihat bahawa politik Malaysia telah bergerak bersifat bukan perkauman," tegas beliau dalam majlis Wacana Pasca Pilihan Raya Umum ke- 12 bersama Jabatan Pengarang Harakah , di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Jelas beliau, idealogi yang diamalkan BA dan DAP yang dulunya bersifat perkauman kini cuba ditonjolkan pendokong gerakan Pakatan Rakyat itu ke arah satu konsep baru yang mengambilalih dari konsep perkauman kepada keadilan sosial.

"Sama ada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah mengarahkan para pendokong ke arah satu konsep baru yang lebih bersifai keadilan sosial, berbanding konsep perkauman," jelas beliau.

Kata beliau, yang penting buat masa ini adalah model permuafakatan yang perlu ditonjolkan Pakatan Rakyat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

"Kalau BN yang berteraskan perkauman itu, bagi saya sudah ranap. Ia tak boleh dipulihkan semula. Jika boleh 'revive' pun, dalam keadaan berbeza dan bukannya berteraskan perkauman. BN yang berteraskan Umno, MIC dan MCA ini umpama tripod yang memiliki tiga tiang. Jika MIC runtuh, MCA runtuh, maka tinggal satu tiang iaitu Umno. Bagaimanapun, dengan satu tiang itu sudah cukup untuk meruntuhkan tripod tersebut," jelas beliau lagi.

Majlis wacana yang berlangsung kira-kira tiga jam itu turut dihadiri penulis bebas, Haji Subky Abdul Latiff. - mks.

No comments: