Saturday, March 22, 2008

Abdullah yang makin hilang populariti, Khairy yang makin menyepi

Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Mar 22, 08 | 9:24:04 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Hrkh) - Bekas calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang bertanding di Parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin menegaskan golongan muda negara ini tidak meletakkan sebarang harapan untuk kabinet yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ini kerana baginya, kabinet ini masih penuh dengan pemimpin rasuah dan rosak.

"Pengumuman kabinet ini juga telah telah membuktikan Abdullah makin hilang populariti dan makin lemah dalam kerajaan apabila dua timbalan menteri mengumumkan penolakan sebaik sahaja diumumkan lantikan," ujar Badrul Hisham.

Beliau berkata demikian dalam satu ulasannya terhadap peletakan jawatan dua timbalan menteri sejurus selepas pengumuman barisan kabinet baru Perdana Menteri baru-baru ini.

Abdullah panik

Keadaan lebih parah apabila Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri MOhd Radzi Sheikh Ahmad sendiri meletakkan jawatan dengan di ikuti perletakan jawatan bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Khir Toyo di Selangor, katanya.

Pengumuman kebinet penuh dengan kontroversi dan protes, sementara ketidakhadiran menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dalam kabinet boleh dianggap kejayaan peribadi Badrul Hisham dan jentera rakyat dalam menyekat sedikit kegilaan kuasa menantu PM ini, katanya.

Namun bagaimanapun ini bukan tanda Khairy sudah berjaya disekat sepenuhnya, katanya.

Sementara itu Badrul Hisham juga melihat Abdullah jelas panik dengan usaha 50 orang 'orang kuat wanita' yang berhimpun di rumahnya yang memprotes tindakan tidak melantik Dato' Seri Rafidah Aziz dalam kabinet.

Sebagai bukti Abdullah lewat petang selepas pengumuman kabinet telah melantik Timbalan Ketua Wanita Umno, Sharizat Jalil yang kalah di Lembah Pantai sebagai penasihat khas Perdana Menteri bertaraf Menteri (gaji dan elaun sama dengan menteri), katanya.

"Sharizat memikul tugas mengepung sokongan wanita kepada PM, ada yang mengatakan PM berharap Rafidah kecewa dan kemudian meletakkan jawatan.

Abdullah hadapi masa sukar

"Namun nampaknya Abdullah akan menghadapi masa sukar apabila Rafidah memilih kekal sebagai Ketua Wanita dan membuat kerja protes dari dalaman parti.

"Begitu juga PM kecewa apabila tindakan disiplin terhadap Mukhriz yang mendesak beliau meletakkan jawatan langsung tidak dibincang dalam Mesyuarat Pemuda Umno Pusat.

"Sebaliknya ada beberapa peringkat pemuda seperti Pemuda Umno Johor yang mula menyatakan persetujuan terbuka terhadap surat Tengku Razaleigh Hamzah (Ku li) mendesak Mesyuarat Agong Khas Umno," ujar Badrul Hisham.

Perletakan jawatan Khir yang mengatakan beliau bertanggungjawab penuh terhadap pencapaian Umno/BN adalah isyarat berat buat Abdullah dan keluarganya, kata Badrul Hisham.

Kebencian terhadap Abdullah dan anak menantu

Sebenarnya selain angin perubahan dan populariti Penasihat KeADILan, Anwar Ibrahim antara punca besar kekalahan BN ialah kerana kebencian dan penolakan rakyat kepada Abdullah yang lemah dan menantu serta anak yang tamak, katanya.

"Abdullah juga perlu mengambil tanggungjawab terhadap apa yang terjadi !!

"Mengenai kumpulan-kumpulan yang bangkit kononya pro kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) saya menyeru semua pihak termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perak dan Selangor menghormati hak kumpulan ini menyatakan pendapat.

Namun ugutan menggunakan ISA oleh Ketua Polis Pulau Pinang perlu difikirkan semula dan tidak wajar, katanya.

Monyet dan beruk

"Cuma saya mempelawa pihak-pihak tersebut (yang pro-DEB) berdebat secara ilmiah dengan mengambil kira realiti dalam perkara ini. Perdebatan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk rakyat adalah budaya demokrasi matang dan maju," ujarnya.

Kata Badrul Hisham, ketika beliau turun ke jalan raya budaya perdebatan dan media jelas terpenjara.

"Adakah menantu PM sudah menarik semula tuduhan atau gelaran kepada mereka yang melakukan protes jalan raya sebagai monyet dan beruk?

"Jika belum sewajarnya kumpulan ini pergi dahulu meminta menantu PM menarik tuduhan itu," katanya.

Tegas Badrul Hisham kumpulan-kumpulan yang mengadakan demonstrasi di Pulau Pinang perlu memberanikan diri bertanyakan bagaimana menantu Perdana Menteri menggunakan nama Melayu dalam parti Melayu melakukan perkara berikut :

1) Mendapat RM9.2 juta membeli ECM libra dan dalam tempoh dua bulan mertuanya menjadi PM memaksa ECM Libra bergabung dengan Avenue Capital sebuah syarikat negara yang menguruskan berbilion aset negara, dan kemudian setelah perkara ini terbongkar menjualkan peganganya dalam Ecm Libra.Jika perkara ini sah kenapa perlu dijual dan kepada siapa ia dijual?
2) Penglibatan Khairy dalam menjual Pantai Holding kepada Singapura dan kemudian kerajaan terpaksa membazirkan wang berlipat kali ganda membeli syarikat ini semula?
3) Isu kedaulatan Selatan Johor yang tergadai atas nama WPI yang menjemput Singapura mentadbir wilayah Malaysia
4) Penjelasan mengenai kontrak dan tender kerajaan yang dimiliki Scomi (milik Kamaluddin Abdullah).
5) Skandal 'oil for food' (Iraq) mana keluarganya mendapat keuntungan atas nama negara dan kenapa BSA Tahir, rakan perniagaan KamaLudin Abdullah ditahan ISA.

Jangan duduk bawah ketiak bapa mertua

Justeru beliau mencabar menantu PM yang cuba menjadi juara Melayu dan DEB untuk berdebat di mana-mana pentas terbuka selepas takut untuk hadir di pentas yang disediakan oleh keADILan semasa PRU-12 di Rembau.

"Menantu perlu berani keluar 'bertempur' secara jantan bukan setakat berkokok dibawah lindungan ketiak bapa mertua," tegasnya sinis.

No comments: