Saturday, March 15, 2008

Kain rentang: Puteri Umno buat laporan polis

KL: Satu laporan polis dibuat Ketua Penerangan Puteri Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Sharifah Aminah Syed Mohssain di Balai Polis Wangsa Maju semalam berikutan pemasangan kain rentang menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memperalatkan nama Puteri Umno.

Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad menafikan pergerakan itu terlibat dalam penyediaan dan pemasangan kain rentang itu dan mendakwa ada pihak tertentu yang memperalatkan nama pergerakan itu untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Beliau yang kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu berkata kain rentang itu dipasang di seluruh kawasan Lembah Klang dan pihak terbabit cuba menggugat keharmonian Umno dengan memperalatkan nama sayap parti itu.

"Perkara ini timbul setelah ahli puteri Umno menyedari ada kain rentang yang dipasang di jejantas Taman Melati yang menolak Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan menggunakan nama Puteri Umno.

"Tidak ada kerja lain, banyak duit mereka untuk cetak dan gantung di semua kawasan. Kami dapati semua kain rentang tersebut mempunyai warna, saiz dan bentuk yang serupa tetapi nama bahagian sahaja diubah dan kami syak itu kerja parti pembangkang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Puteri Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

No comments: