Tuesday, March 25, 2008

Pak Lah bakal ketua pembangkang yang tidak tidur?

Oleh Fudzail
Selasa, 25 Mac 2008

SENARIO semasa politik tanahair dari rentetan babak-babak drama pasca pilihanraya ke 12 memang banyak diluar jangkaan. Satu demi satu krisis menonjolkan realiti yang selama ini sekadar mitos.

Apalagi dengan media perdana yang bejat dan tertutup, terutama dalam menutup dosa-dosa, kemelut, kecelaruan dan kacau bilau UMNO/BN yang sudah 50 tahun menjadi 'penjajah' di Malaysia.

Kali terakhir kami, penyokong 'totok' pembangkang atau Barisan Rakyat (BR) di Dubai bertemu dengan Anwar Ibrahim, beberapa hari sebelum pilihanraya diumumkan, masih saja ada terselit keraguan.

Ragu dengan keyakinan Anwar dalam keadaan yang seakan tidak memihak untuk pembangkang walau banyak isu panas, terutama kepimpinan Pak Lah, keangkuhan menantunya, kesombongan budak-budak Tingkat 4, inflasi, rasuah, Patrick Badawi, Lingamgate dan sebagainya.

Mungkin kami agak jauh dari tanahair untuk merasakan gelombang tsunami yang sedang berpusaran di bawah permukaan.

Biarpun maklumat yang terdapat dari laman web dan blog menunjukkan telah ada unsur-unsur yang boleh mengubah peta politik Malaysia, tetapi trauma dari pelbagai strategi jahat BN masih memberikan keraguan.

Pada hari ini, setelah dua minggu pilihanraya berlalu, ternyata sekadar mitos yang BN tidak boleh ditumbangkan. Rakyat telah menghapuskan ketakutan mengenai ancaman 'huru-hara' sekiranya pembangkang menguasai negara.

Walau pilihanraya tidak BERSIH sepenuhnya, gelombang tsunami melenyapkan segala mitos 'perang saraf' yang dicipta oleh BN.

Krisis dari ketidakpuasan beberapa pihak dengan kabinte baru serta penolakan calun-calun MB di negeri-negeri yang masih dibawah naungan BN seperti Perlis dan Trengganu seakan mencepatkan lagi fasa perubahan terbesar sejak kemerdekaan.

Fasa kemuncak yang sedang dinantikan ialah untuk melihat BN bertukar tempat di parlimen sebagai pembangkang. Tidak mustahil lagi untuk melihat presiden UMNO menjadi ketua pembangkang.

Pada November 2005, Anwar pernah ke rumah saya untuk bersama penyokong pembangkang dan itu menjadi salah satu kenangan sekiranya bekas banduan penjara Sungai Buloh tersebut menjadi penghuni Sri Perdana.

Tidak mustahil kalau benar-benar terjadi lompatan ahli parlimen BN ke BR dalam waktu terdekat.

Begitu juga, tidak mustahil, melainkan presiden UMNO yang diminta berundur mahu menarik diri atau ditumbangkan secara hina oleh parti UMNO, Pak Lah boleh mencipta sejarah baru sebagai Ketua Pembangkang Yang Tidak Tidur-Tidur sepanjang perbahasan!

Manakala menantu kesayangannya mungkin tidak juga tidur-tidur untuk menghadapi pelbagai kes mahkamah dengan pelbagai saman malu, selain kes penggabungan Avenue- ECM dan wang ehsan Trengganu yang mungkin membongkarkan penyelewengan sensasi abad ini!

Walauapapun, tidak sabar lagi mengucapkan selamat malam kepada Pak Lah, menantu kesayangan, serta juak-juak UMNOputera yang terlalu lama menguasai politik negara!


No comments: