Saturday, March 22, 2008

Jika PM dengar suara rakyat, bebaskan tahanan ISA-Hindraf - Kit Siang

Wan Nordin Wan Yaacob
Sat | Mar 22, 08 | 11:34:45 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Hrkh) - Jika benar Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui bahawa beliau mendengar suara hati rakyat, beliau mesti membebaskan segera lima pemimpin Hindraf yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bekas Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Lim Kit Siang berkata, dua hari selepas pilihan raya, Abdullah dipetik dalam sebuah rencana di akhbar Asian Wall Street Journal sebagai berkata 'telah mendengar suara rakyat dan akan menumpukan kepada usaha menangani perpecahan yang jelas berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya umum lalu.'

Lim berkata, Abdullah juga berkata akan mengambil inisiatif baru dan konkrit, dan bukan sekadar retorik semata-mata, untuk menyatupadukan rakyat dan memastikan tiada yang ketinggalan kemakmuran negara sama ada Melayu, Cina dan India.

Sehubungan itu Kit Siang mengingatkan Abdullah bahawa antara punca berlakunya tsunami politik dan kekalahan teruk BN ialah merosotnya undi kaum India sebanyak 35 peratus daripada 82 peratus.

"Kemerosotan sokongan pengundi India telah hampir-hampir melenyapkan MIC di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-semuanya akibat daripada peminggiran selama ini kaum India di Malaysia dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan agama - yang telah melahirkan Hindraf dan fenomena 'Makkal Sakti' (kuasa rakyat)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya semalam berhubung tuntutan membebaskan lima tahanan ISA-Hindraf.

Kit Siang juga mempersoalkan mengapa sejak 13 hari lalu, Abdullah tidak membebaskan lima pemimpin Hindraf tersebut, jika beliau benar-benar telah mendengar 'suara rakyat'.

Lima tahanan itu ialah, M Manoharan, P.Uthayakumar, V.Ganabatirau, R Kengadharan dan K.Vasantha Kumar-semuanya ditahan pada 13 Disember lalu selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Dalam pilihanraya umum, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP di kerusi Dun Kota Alam Shah di Selangor dan menang dengan majoriti 7,184 undi.

Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Sehubungan itu, Kit Siang berkata, beliau akan menulis surat kepada Abdullah sebelum mesyuarat kabinet Rabu depan supaya membebaskan segera tanpa syarat pemimpin-pemimpin Hindraf.

Katanya, pembebasan ini satu ujian terhadap Abdullah sama ada beliau benar-benar mahu mendengar hasrat rakyat selepas tsunami.

No comments: