Saturday, March 22, 2008

Ahli Parlimen lompat: "Kita tidak terburu-buru" Anwar

Oleh Mohamad Mukhreez
Sabtu, 22 Mac 2008

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat pengumuman mengenai kedudukan Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot selepas parti itu mendapat surat rasmi mengenainya, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai berita mengenai Richard Riot yang dikatakan telah menyertai PKR.

Mengulas mengenai laporan bahawa pihaknya sedang melobi anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan PKR, PAS dan DAP, beliau mendakwa ramai anggota parlimen BN telah menyatakan hasrat menyertainya tetapi pihaknya tidak mahu terburu-buru.

Beliau mengakui telah mengadakan perjumpaan dengan wakil BN di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung.

"Memang benar ada rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung menemui saya dan prinsip kita siapa sahaja yang ingin bersama-sama bersandarkan agenda perjuangan dan agenda perubahan negara, tetapi beli orang bukan tradisi kita," katanya dipetik agensi berita Bernama.

"Kalau ada yang berbicara soal (bayaran) kita batalkan perbincangan sama sekali...kita tidak terburu-buru kerana kita mempunyai waktu," katanya.

Wakil rakyat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Richard Riot bakal menjadi ahli parlimen pertama meninggalkan BN jika perkara itu berlaku namun Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan semalam menganggap ia sebagai khabar angin dan pihaknya belum menerima surat peletakan jawatan daripada Richard.

Pakatan PKR, PAS dan DAP kini menguasai 82 kerusi Parlimen manakala BN mempunyai 140 kerusi. Majoriti mudah yang diperlukan untuk menguasai parlimen ialah 112 kerusi.

Sebelum itu, Anwar berkata lima kerajaan negeri yang diperintah PAS, DAP dan PKR memberi jaminan kepada pelabur asing dan tempatan semua projek pelaburan di negeri-negeri terbabit diberi kelulusan segera dan dikendalikan secara telus.

"Kita akan pastikan proses pelaburan di negeri-negeri ini (Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor) berjalan licin dan tidak ada kebocoran...," katanya pada sidang akhbar selepas berjumpa Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin di sini.

Beliau berkata kepimpinan tiga parti itu memberi jaminan kepada para pelabur asing dan tempatan akan mewujudkan iklim pelaburan tersebut dalam usaha mereka memberi tumpuan utama menggerakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negeri.

Anwar berkata beliau akan melawat negara Arab minggu depan serta menemui beberapa syarikat besar China dan perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada mereka bagi menarik mereka melabur di negeri-negeri terbabit.

Beliau berkata lima kerajaan negeri itu perlu memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi kerana jika perkara itu gagal dilaksanakan, kerajaan negeri terbabit tidak akan dapat mengagihkan kekayaan dengan adil dan saksama kepada rakyat seperti dijanjikan dalam pilihan raya.


No comments: