Friday, March 28, 2008

Penderhaka tidak sepatutnya jadi PM

Abdul Halim Mohd Rashid
Fri | Mar 28, 08 | 4:57:31 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Hrkh) - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak sepatutnya menjadi Perdana Menteri kerana beliau telah mengarahkan satu 'perang terbuka' ke atas Sultan Terengganu yang juga Yang di-Pertuan Agong, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

"Adalah tidak munasabah pemimpin sebuah parti derhaka seperti Umno untuk memimpin negara yang diketuai oleh raja yang diderhakainya," kata beliau.

Pemuda PAS, katanya, melihat semua bentuk penderhakaan dan kebiadaban Umno Terengganu adalah didorong oleh arahan tersebut.

"Politik derhaka Umno Terengganu mempunyai kaitan yang rapat dengan arahan Presiden Umno tersebut ... Presiden Umno mesti dikenakan tindakan undang-undang," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata: "Kita tunggu arahan daripada presiden. Apa saja yang presiden minta... apa yang dibuat sekarang pun adalah atas arahan presiden."

Salahuddin berkata, perbuatan biadab dan derhaka 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional kerana mematuhi arahan Abdullah itu kemudiannya mencetuskan perbuatan biadab penyokong mereka.

"Selain mengadakan perhimpunan haram dan menghantar memorandum bantahan kepada istana, mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada istana," kata beliau.

Kemuncaknya, penyokong bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh yang taat kepada arahan Abdullah telah membawa sepanduk yang tertulis "Kami nak Idris, natang" yang disepakati umum sebagai ditujukan kepada Sultan Terengganu. - mks.

No comments: