Saturday, March 15, 2008

MB: Semua ADUN dipanggil mengadap

KUALA TERENGGANU: Seramai 23 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang memenangi Pilihan Raya Umum Sabtu lepas, akan dipanggil mengadap Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu esok bagi membincangkan pelantikan Menteri Besar.

Perjumpaan tersebut dijadual diadakan di sebuah hotel di Putrajaya pada pukul 11.00 pagi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh tidak akan menghadiri pertemuan tersebut.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Idris ketika ditemui pada satu majlis perlawananan futsal persahabatan antara pasukan Menteri Besar dengan pasukan Pejabat Daerah Besut di gelanggang Futsal Daerah Besut di Kampung Raja, di sini petang ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

Pada pilihan raya lepas, BN memperoleh majoriti dua pertiga bagi memerintah Terengganu selepas memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tujuh daripada kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Idris memenangi kerusi DUN Jertih selepas menewaskan calon daripada PAS Muhammad Hassan Salleh dengan majoriti 3,046.

Majlis pelantikan dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang pada asalnya dijadual diadakan di Istana Maziah Isnin lepas, ditunda disebabkan masalah tertentu, menyebabkan timbul pelbagai spekulasi berhubung perkara itu.

No comments: