Sunday, March 16, 2008

Bukan tolak Shahidan, tetapi Abdullah - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - Tindakan Raja Perlis menolak calon yang dicadangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Besar negeri itu membuktikan bahawa beliau ditolak oleh semua pihak, dari rakyat hingga istana.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyifatkan keenganan istana Perlis melantik Adun TambunTulang, Datuk Seri Shahidan Kassim adalah bukti bahawa Abdullah tidak lagi dipercayai dan dihormati.

"Raja Perlis sebenarnya bukan menolak Shahidan tetapi menolak Abdullah sebagai Perdana Menteri. Sebab itulah baginda menolak Shahidan yang dicadangkan oleh Abdullah.

"Sebelum ini Abdullah ditolak oleh undi tidak percaya rakyat. Kali ini protes dan undi tidak percaya istana pula," katanya.

Mahfuz berkata, sebelum ini, generasi hari ini tidak pernah mendengar Raja-Raja Melayu menolak cadangan Perdana Menteri.

"Apabila istana menolak cadangan Abdullah, ia sebenarnya satu tempelakan dan tamparan kepada kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

"Tindakan yang memalukan Abdullah itu membuktikan banyak perkara yang tidak kena d sisi istana terhadap kedudukan Abdullah sebagai Perdana Menteri," katanya lagi.

Apa yang berlaku itu, katanya, membuktikan Abdullah hilang kemampuan untuk memimpin pentadbiran negara dan pilihan yang terbaik baginya ialah berundur dengan segera.

"Kepimpinan Abdullah memang sangat tenat dan nazak sehingga, setakat ini, tidak muncul seorang hulubalang pun untuk membela Abdullah. (Datuk Seri) Nazri (Aziz) pun tidak berani. Jauh lagilah Khairy yang dianggap oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sebagai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac yang lalu," kata beliau lagi.

No comments: